BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 20, 2009

Akademi Sastera - Pembentangan Teori


Tahniah diucapkan kepada MOHD AZREIN BIN ABBAS kerana telah berjaya memasuki peringkat akhir pembentangan kertas teori pada 08/10/2009 di Dewan Bahasa dan Pustaka walaupun mendapat tentangan sengit daripada UKM,UPM,ASWARA dan juga UM..semoga seluruh warga sastera dapat memberi sokongan padu kepada beliau pada peringkat akhir nanti, kami daripada warga kesusasteraan Melayu UPSI mengucapkan tahniah dan semoga berjaya di peringkat akhir nanti..

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan Al-Mubarak !

Assalamualaikum..selamat menyambut bulan Ramadhan diucapkan kepada seluruh warga Kesusasteraan Melayu UPSI semoga bulan yang penuh mulia ini dapat dipenuhi dengan limpahan rahmat dan dijauhkan daripada penyakit-penyakit yang merbahaya..amin...

Saturday, August 15, 2009

Wednesday, August 12, 2009

Doa ketika penyakit menular (H1N1)

Tuesday, August 11, 2009

Nota Daripada Prof. Madya Datuk Paduka Dr. Rosli Bin Saludin

Ketidakpeduliaan Masyarakat Terhadap Budaya Memelihara dan Memulihara

Memelihara bermaksud menjaga, membela, merawat sesuatu peninggalan atau warisan sesuatu bangsa dan memulihara pula ialah memulihkan, menjaga, menjaga sesuatu supaya sentiasa berada dalam keadaan yang baik. Kedua-dua istilah tersebut saling berkaitan bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, bagai mata hitam dengan mata putih. Kedua-duanya adalah sama penting dalam arah kita menjaga warisan dan budaya bangsa supaya tidak pupus di telah zaman.

Rama-rama si kumbang jati
Tuan Khatib pulang berkuda
Patah tumbuh hilang berganti
Warisan bangsa, sama-sama dijaga

Banyak pihak yang telah berusaha ke arah memelihara dan memulihara warisan di negara kita ini. Contohnya Jabatan Warisan Negara sebuah agensi di bawah Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian yang ditubuhkan pada 1 Mac 2006 lantaran berkuatkuasanya suatu akta yang dikenali sebagai Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) menggantikan Akta Benda Purba 1976 dan Akta Harta Karun 1957. Selain dipertanggungjawabkan untuk mempertahankan kesinambungan warisan Negara, Jabatan Warisan Negara diberi tugas untuk mengembeling usaha ke arah memartabatkan warisan kebudayaan semula.

Berdasarkan matlamat tersebut Jabatan Warisan Negara bertanggungjawab untuk memelihara dan memulihara dalam bentuk ketara mahupun dalam bentuk tak ketara. Objektifnya pula ialah untuk mengawasi, memelihara, memulihara dan membaikpulih berbagai jenis warisan termasuk ketara dan tak ketara, semulajadi dan warisan bawah air, serta menyelidik, mendokumentasi fakta warisan dan melahirkan kesedaran tentang warisan seperti yang terkandung dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Persoalannya sekarang sejauhmana kepeduliaan masyarakat terhadap budaya memelihara dan memulihara ini. Hipotesis awal yang boleh dibuat masyarakat pada hari ini mengamalkan sikap ketidakpeduliaan terhadap budaya memelihara dan memulihara. Mereka masih menganggap perkara tersebut tidak penting. Bila perkara ini disedari oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian maka Akta Warisan Kebangsaan 2005 diwujudkan dan telah diguna pakai sebagai “senjata” bagi mempertahankan semua warisan kita.

Akat seperti ini sangat penting bagi membangkitkan rasa untuk menghargai segala warisan yang ada di Negara kita ini. Melalui akta ini juga masing-masing akan sedar betapa pentingnya kita mempertahankan sesuatu warisan yang boleh kita kenang hingga ke anak cucu cicit kita nanti. Kemegahan kita adalah kepada warisan lama kita yang boleh kita tunjukkan kepada dunia bahawa kita adalah bangsa yang bertamadun dan pernah cemerlang, gemilang dan terbilang suatu ketika dahulu. Bahasa Melayu contohnya pernah menjadi bahasa yang terpenting di dunia dan mempunyai ramai penuturnya. Jadi tugas memelihara dan memuliharanya adalah terletak di tangan kita sendiri.

Lembu baru pedati baru
Lembu masuk Kota Melaka
Multimedia Koridor baru
Warisan lama jangan dilupa


Sikap ketidakpeduliaan masyarakat terhadap penggunaan bahasa etnik juga menjadi suatu kerugian kepada negara kita. Setiap insan kecuali kanak-kanak yang belum pandai bercakap dan bisu pandai bertutur dalam sesuatu bahasa. Setiap bangsa dalam alam semesta ini mempunyai kebudayaan dan bahasa tersendiri kecuali bangsa yang telah pupus bahasa dan kebudayaannya. Kita tidak mahu perkara ini berlaku di negara kita.

Kemustahakan bahasa kepada sesuatu bangsa dapat kita gambarkan apabila kita hayati maksud peribahasa Melayu iaitu bahasa jiwa bangsa; bahasa menunjukkan bangsa dan hilang bahasa lenyaplah bangsa. Maksud peribahasa Melayu ini adalah jelas iaitu tanpa bahasa maka status sesuatu bangsa itu sama seperti ianya tidak wujud. Adalah tidak boleh dinafikan bahawa pada masa ini ramai generasi muda yang tidak lagi pandai bertutur dalam bahasa ibunda mereka. Kalau perkara ini dibiarkan maka dalam jangka masa yang terdekat ini, bahasa-bahasa etnik di Negara ini akan pupus penggunaannya.

Menurut pendapat Michael Krause, seorang pakar bahasa yang meramalkan bahawa dalam masa seratus tahun mendatang ini, 90 peratus daripada bahasa yang wujud sekarang ini akan lenyap jika tiada usaha memelihara dan memuliharanya. Beliau menganggarkan bahawa masih ada kira-kira 6,000 bahasa di dunia ini. Sepertiga daripada jumlah ini terdapat di Asia. 50 peratus daripada jumlah ini disifatkan oleh Michael Krause sebagai ‘moribund’ iaitu bahasa yang tidak diajar atau dipelajari oleh kanak-kanak yang dilahirkan dalam masyarakat berkenaan.

Empat puluh peratus lagi berada dalam keadaan ‘endangered’ iaitu bahasa yang jika tidak dipelihara dan pulihara mungkin tidak diamalkan atau dituturkan oleh generasi akan datang dan ini bermakna cuma 10 peratus daripada jumlah bahasa dunia boleh disifatkan sebagai ‘selamat’. Kepelbagaian bahasa, seperti juga kepelbagaian budaya dan kepelbagaian biologi adalah terancam dengan serius di merata dunia kalau tiada usaha memelihara dan memulihara.

Adalah tidak dinafikan bahawa selain daripada rupa bentuk alam sekitar yang menarik, kebudayaan etnik minorit adalah produk pelancongan yang menggamit ramai pelancong dari luar Negara melancong ke negara ini. Industri pelancongan menggunakan kebudayaan suku-suku minoriti sebagai bahan untuk mempromosikan industri pelancongan negara ini melalui iklan-iklan di media cetak dan elektronik dan bermacam-macam lagi. Promosi melalui iklan-iklan yang memaparkan imej-imej individu yang berpakaian tradisional etnik minoriti dan alat-alat kebudayaan masing-masing.

Angkut-angkut terbang ke langit
Terbang ke langit menyidai kain
Walau terlangkup bumi dan langit
Budaya tak berubah pada yang lain

Kadang-kadang ada iklan yang menggunakan sesuatu bahasa tertentu untuk menggamit perhatian orang ramai dan pelancong. Melalui tindakan ini adalah jelas bahawa budaya memelihara dan memulihara itu penting terutama untuk menggalakkan dan memastikan ketidakpupusan sesuatu warisan dan sebagainya. Keprihatinan kerajaan dan masyarakat dalam memelihara dan memulihara warisan sesuatu etnik itu amat bertepatan dan wajar dalam sesebuah Negara berbilang kaum di Malaysia ini dan ia merupakan harta negara yang boleh menyumbang dalam pertumbuhan ekonomi dan menyumbang kepada perpaduan negara.

Bersatu teguh
Bercerai roboh
Bersatu bertambah mutu
Berbahasa menunjukkan bangsa
Hilang bahasa
Musnahlah jati diri kita


Wujud juga budaya ketidakpeduliaan masyarakat dalam memelihara dan memulihara tulisan Jawi. Ramai yang tidak mahir dalam membaca dan menulis tulisan Jawi. Akibat daripada ini orang Melayu sendiri kerugian kerana kebanyakan ilmu yang ada dalam tamadun Melayu adalah dalam tulisan Jawi. Manuskrip-manuskrip penting dalam tulisan Jawi terbiar begitu sahaja. Cuma segelitir cerdik pandai sahaja yang boleh menterjemahkannya ke dalam tulisan rumi. Perkara ini telah berlaku sejak tahun 60 an lagi.

Akibat wujud budaya ketidakpeduliaan dalam memelihara dan memulihara tulisan Jawi ini hanya sebilangan individu sahaja yang boleh membaca dan menulis jawi. Ramai pelajar kita yang belajar membaca Quran tetapi ‘buta’ apabila disuruh membaca akhbar atau buku bertulisan jawi apatah lagi untuk menulisnya. Ketika belajar agama di sekolah, mereka malahan menyalin ayat-ayat Quran atau Hadis dalam tulisan rumi.

Kepupusan tulisan jawi sesungguhnya akan membawa kerugian yang besar kepada masyarakat dan budaya Melayu. Ketidakpeduliaan budaya memelihara dan memulihara ini menjadikan Bahasa Melayu kehilangan satu sifatnya yang unik iaitu dapat ditulis dan dibaca dalam dua jenis tulisan iaitu jawi dan rumi. Generasi akan dating akan mengalami kerugian yang lebih besar. Manuskrip-manuskrip Melayu seperti yang ditegaskan tadi merupakan warisan budaya kita akan terbiar sahaja dalam simpanan kerana tiada yang dapat menghayatinya.

Semuanya berpunca kerana tiada yang dapat membaca tulisan jawi yang digunakan dalam manuskrip itu. Mungkin di satu ketika dahulu hal ini tidak menjadi masalah. Seorang dua yang boleh membaca telah mencukupi dan yang lain hanya akan jadi pendengar sahaja. Tetapi untuk memenuhi keperluan ilmu dan kehidupan hari ini, manuskrip-manuskrip demikian harus dibaca dan diteliti secara mendalam. Sangatlah merugikan jika manuskrip-manuskrip itu tidak dapat dihayati, dikaji dan dimanfaatkan. Tiada gunanya jika manuskrip-manuskrip itu hanya menjadi bahan tontonan di pameran-pameran dan kemudian disimpan sebagai sebahagian daripada barang-barang antic. Apakah pula yang akan terjadi kepada lebih kurang 6,000 buah manuskrip Melayu yang kini masih berada di luar negara. Manuskrip yang ada dalam simpanan terbiar begitu sahaja menjadi permainan anak cucu yang masih kecil dan akhirnya menjadi rosak. Akhirnya dibeli oleh pemungut manuskrip dan dijual semula dalam harga yang mahal untuk mencari keuntungan yang besar.

Dalam usaha menyedarkan semula masyarakat ke arah budaya memelihara dan memulihara tulisan jawi ini seminar, bengkel dan konvensyen tulisan jawi haruslah berterusan dan yang terkini telah diusahakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim. Ramai pelajar dari Korea Selatan akan mendaftar di Fakulti bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim yang akan menjurus belajar tulisan Jawi. Ke arah tersebut program major jawi akan diwujudkan dan pengajian jawi di peringkat master dan P.hD telah pun bermula. Seorang lulusan Doktor Falsafah, Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah lahir iaitu Cikgu Ismail Abdul Rahman yang mengkaji tulisan Jawi lama dalam peninggalan Melayu terutama di batu nisan.

Kita juga patut mewujudkan akta atau undang-undang khas mengenai tulisan jawi di negara ini. Ahli Parlimen yang sedar akan tugasnya dalam memelihara dan memulihara tulisan jawi harus bertindak segera supaya cadangan ini dibahaskan. Kita masih lagi belum terlambat. Pengajaran tulisan jawi secara berfokus dan tersusun harus diwujudkan di sekolah dan harus dilaksanakan segera. Jangan wujud sebagai tempelan sahaja dan sekadar untuk memuaskan hati setengah pihak sahaja. Usaha murni ini haruslah cepat supaya generasi yang jahil tulisan jawi tidak bertambah.

Penerbit-penerbit buku pula harus digalakkan menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam tulisan jawi sementara masyarakat umum digalakkan menggunakannya sedapat mungkin seperti pada papan-papan tanda, iklan, logo dan sebagainya. Peringatan harus diberi bahawa usaha seperti ini jangan disalah tafsir dan dipolitikkan. Jika ini berlaku kita akan kerugian. Fikirkanlah masa hadapan bangsa dan negara. Jangan kita beretorik sahaja tanpa sebarang tindakan yang berkesan. Ternyata bahawa dalam hal ini kerajaan harus memainkan peranan penting dan bertindak tegas. Kesedaran di kalangan segolongan masyarakat sahaja tidak akan dapat membawa kita kepada matlamat yang ingin dicapai.

Fikirkanlah bahawa kita mesti menjadikan ketidakpeduliaan itu kepada kepeduliaan dalam memelihara dan memulihara warisan bangsa terutama bahasanya. Kita harus sedar bahawa pentingnya bahasa dalam mencerminkan apa-apa yang terpendam dalam diri penuturnya. Bahasa boleh dianggap sebagai lambang yang menggambarkan watak dan kebudayaan seseorang individu atau sesuatu bangsa. Lebih daripada lambang itu, bahasa adalah alat perhubungan di antara sahabat dengan sahabat, di antara institusi dengan pelanggan dan di antara pelbagai golongan manusia. Hari ini alat-alat elektronik, telefon, radio, teleks, televisyen, computer dan satelit telah memperbaiki serta mempercepat perhubungan. Namun kesemua kemajuan alat teknologi dan perhubungan moden ini tetap memerlukan bahasa untuk menyampaikan berita dan pesan.

Satu-satunya badan kerajaan negeri yang begitu peka dalam mengajak masyarakat kea rah budaya memelihara dan memulihara ialah Yayasan Warisan Johor. Yayasan ini tidak jemu-jemu untuk mengingatkan masyarakat tentang budaya memelihara dan memulihara. Malahan Yayasan ini bukan beretorik sahaja, malahan banyak tidakan yang kukuh telah diambil. Yayasan ini wujud dalam menggerak sastera, sejarah dan budaya Johor. Terdapat beberapa bahagian di dalamnya seperti pemuziuman, persuratan dan sejarah, perkembangan seni dan budaya, kesenian warisan Johor, kepimpinan dan latihan dan agama. Terdapat usaha menyelidik, menerbit, pengembangan ilmu dan mendokumentasi.

Negeri-negeri lain sudah mula meniru akan keberkesanan Yayasan Johor ini dalam mewujudkan budaya memelihara dan memulihara dalam masyarakat dan sesungguhnya ini adalah suatu perkembangan yang sangat sihat. Sejak ditubuhkan Yayasan Warisan Johor ini telah diberi tanggungjawab bukan sahaja untuk memelihara bahkan memulihara semua warisan Johor supaya tidak pupus dan terhakis oleh perkembangan zaman. Yayasan ini mempunyai falsafah iaitu pembangunan dan kemajuan sesebuah Negara dan Negara haruslah seimbang dan berpaksikan kepada pendekatan yang holistic dan menyeluruh. Wawasannya pula ialah pemantapan jati diri Johor melalui memelihara dan memulihara warisan budaya bangsa. Misinya adalah memartabatkan warisan sejarah, seni dan budaya negeri Johor. Kesannya mula ketara di Johor dalam mewujudkan budaya memelihara dan memulihara dalam masyarakat. Contohnya tarian Zapin, sangat berkembang luas dalam semua peringkat.

Muka pedang belakang pedang
Pedang berhulu gading gajah
Esa hilang dua terbilang
Pantang kita berpaling tadah


Fungsi Yayasan Warisan Johor ini sangat jelas ke arah budaya memelihara dan memelihara dalam masyarakat. Semuanya ada kaitan dengan warisan sejarah, seni dan budaya. Usaha telah mereka lakukan dalam menjana kesedaran dan minat masyarakat untuk bekerjasama dalam usaha pemeliharaan dan pemuliharaan warisan sejarah dan budaya di Johor. Di samping itu pula budaya memelihara dan memulihara monument-monumen sejarah termasuk melindungi dan menambahkan lagi kemudahan yang sedia ada di tempat tersebut untuk sebagai peringatan dan tarikan pelancong.

Masyarakat pula telah mendapat manfaat daripada usaha Yayasan Warisan Johor ini, bila mereka telah menyebar dan mengembangkan ilmu pengetahuan melalui penerbitan-penerbitan bulletin, jurnal, buku, ceramah, bengkel, seminar dan seumpamanya. Usaha yang terkini yang telah mereka lakukan dengan kerjasama Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, Universiti Pendidikan Sultan Idris telah diadakan Seminar Pemikiran Shaharom Hussin. Banyak perkara-perkara baru telah dapat ditimbulkan mengenai tokoh ini yang boleh dijadikan sebagai bahyan ilmu dan semuanya telah berjaya dirakamkan dalam bentuk buku. Masyarakat akan dapat manfaatnya melalui budaya memelihara dan memulihara seperti ini.
Kita juga harus belajar daripada kegigihan Yayasan Warisan Johor ini terutamanya dalam membina muzium-muzium, pusat-pusat sejarah, galeri seni untuk menyimpan dan melestarikan warisan sejarah, seni dan budaya Johor. Usaha seperti ini telah dapat diteruskan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan dan Kesenian iaitu dengan wujudnya Muzium Adat Malaysia, di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan dan usaha ini adalah di atas kegigihan menteri pada ketika itu niaitu Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim.

Jika kita ke Kuala Klawang, Jelebu, negeri Sembilan kita akan dapat lihat sebuah Muzium Adat Malaysia yang tersergam indah. Di dalamnya penuh dengan ilmu yang boleh di ketahui oleh masyarakat tentang adat-adat yang telah diamalkan di Malaysia ini. Harus diingat usaha pemahaman dalam soal adat seperti ini boleh melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu kukuh. Di samping itu muzium ini telah meneruskan banyak penyelidikan yang ada kaitan dengan adat dan budaya di Malaysia.

Setiap minggu dan setiap bulan banyak kegiatan yang bersifat adat dan budaya telah dijalankan dan menjadi tarikan masyarakat untuk berkunjung ke sana. Masyarakat sekarang telah mula sedar akan kepentingan memelihara dan memulihara adat dan budaya ini. Kepelbagaian adat dan budaya di Malaysia haruslah dikekalkan dan ini merupakan keunikan yang menarik minat pelancong. Mereka juga terpegun dengan kepelbagaian ini dan timbul minat mereka untuk membuat kajian dan meniru kelebihan negara kita yang boleh bersatu padu melalui adat dan budaya.

Kita juga patut mewujudkan sebuah galeri atau arkib di rumah masing-masing untuk menyimpan bahan-bahan yang ada kaitan dengan sejarah, adat dan budaya. Bahan-bahan seperti ini patut dikekalkan terutama untuk menjadi tatapan anak cucu cicit kita yang akan datang. Pengekalan bahan-bahan seperti ini di rumah masing-masing boleh menjadi tarikan jika di wujudkan “homestay” dan ini boleh menjana pulangan lumayan di sesebuah kampong tersebut.

Dalam arus globalisasi ini kita harus ada usaha yang gigih untuk memelihara dan memulihara warisan dan budaya bangsa. Contohnya dalam adat perkahwinan pada hari ini, belanja untuk menyiapkan pelamin sahaja boleh mencapai ribuan ringgit termasuk solekannya sekali dan ini adalah membazir sahaja, terutama dalam ekonomi yang dilanda kemesetan ini. Usaha-usaha harus dibuat mulai sekarang untuk kembali semula membuat pelamin secara gotong-royong dan menggunakan hiasan tradisional dan pada saya belanjanya tidaklah berapa banyak kerana memerlukan barangan hutan dan yang ada di sekeliling kita. Di samping itu pula budaya gotong-royong dalam membuat pelamin ini boleh merapatkan masyarakat di dalam kampung tersebut. Ingatlah bahawa:

Adat berbudaya, budaya dipertahankan
Adat berbangsa, bangsa dipertahankan
Adat berbahasa, bahasa dipertahankan
Adat beragama, agama dipertahankan
Adat bernegeri, negeri dipertahankan
Adat bernegara, negara dipertahankan
Duduk seorang bersempit-sempitan
Duduk ramai berlapang-lapangan

Saturday, August 8, 2009

Pengumuman !!

Kelas DR. Azhar Aplikasi komputer semester 3 pada esok hari isnin 10/8/2009 ditunda kepada 1 tarikh yang kan diberitahu kelak, sila sebarkan kepada rakan-rakan anda..harap maklum..

Related Posts with Thumbnails